Setelah mengikuti Kurikulum Seni Visual sekolah rendah, murid dapat:
- Menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan.
- Melibatkan diri dalam kegiatan seni visual secara aktif, kritis, kreatif dan menyeronokkan
- Menajamkan daya imaginasi melalui pandaindera
- Mengenali asas seni reka dan olahan serta dapat menggunakannya
- Mengembangkan kemahiran asas dalam pelbagai kegiatan seni visual
- Membiasakan diri membuat rekaan seni dengan teratur, cermat dan selamat
- Memupuk nilai-nilai kerjasama, yakin diri, disiplin diri dan bertanggungjawab
- Mengenal dan menghargai tokoh seni dan budaya tanah air
- Menggunakan kemudahan teknologi dalam kegiatan penghasilan seni visual
- Melibatkan diri dalam kegiatan seni visual sebagai aktiviti kesenggangan yang berfaedah.
Tumpuan utama Seni Visual merangkumi empat aspek utama yang dipentingkan iaitu:
- Pemerhatian secara aktif
- Interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan
- Apresiasi seni visual secara mudah
- Menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan
Pemerhatian secara aktif
Pemerhatian secara aktif merangkumi kesedaran pemerhatian keseluruhan, berfokus dan terperinci dapat menajamkan persepsi murid. Selain memperkembang deria penglihatan, aspek ini juga melibatkan pancaindera lain melalui kajian perbanmdingan. Kajian seperti ini membantu perkembangan emosi dan imaginasi. Pemahaman tentang asas seni visual juga turut diperkembang melalui kegiatan pemerhatian ini. Murid akan dilatih membuat pemerhatian terhadap objek alam dan objek buatan manusia. Ini adalah untuk membolehkan murid merasai secara konkrit bagi mendapatkan imej mental. Kegiatan-kegiatan ini membantu terus menyelaraskan idea, imaginasi dan alam fantasinya ke arah perkembangan persepsi dan pemikiran abstrak.
Interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan
Peringkat ini menggalakkan murid membuat penerokaan dan percubaan dalam mempelbagaikan kegiatan kreatif dengan menggunakan alat dan bahan. Proses ini akan memperkembang aspek psikomotor dan kemahiran asas seni visual berhubung dengan manipulasi alat dan bahan serta teknik-teknik mudah. Semasa berinteraksi dengan alat dan bahan, murid membuat interpretasi dan menyelaras konsepsi visualnya dengan objek yang dilihat. Proses pembelajaran ini amat penting kerana memberi peluang kepada murid belajar secara tidak langsung. Murid juga dapat mengenali perubahan yang mereka boleh lakukan dalam penghasilan seni pada masa akan datang.
Apresiasi seni visual secara mudah
Apresiasi seni visual memberi pengalaman kepada murid mengenali aspek pengetahuan seni visual dan kegunaannya dalam pelbagai kegiatan kehidupan dari segi keindahan dan fungsi. Murid terlibat dalam kajian perbandingan dan menyatakan apa yang dilihat dari aspek seni melalui hasil kerja. Penyataan tentang hasil kerja pula boleh dibuat dalam pelbagai cara seperti lisan, cerita, lakonan, nyanyian, karangan dan puisi. Murid diperkenalkan kepada tokoh-tokoh seni dan menghargai sumbangan mereka.
Menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan
Selain diberi pengalaman membuat apresiasi seni visual secara mudah, murid juga dipupuk nilai menyanyangi dan menghargai segala aspek yang wujud dalam persekitaran dan kehidupan mereka. Ini termasuklah memelihara dan memulihara alam sekitar., nilai patriotisme, nilai kebersihan, dan kepekaan. Dengan ini murid akan dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya apabila berhadapan dengan semua pelbagai situasi.
No comments:
Post a Comment